
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Pelaksanaan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu yang sebelum ini dijadual bermula 1 Jun depan, ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.
- Imigresen menjamin urusan pasport tidak terjejas; orang ramai boleh terus berurusan di kaunter seperti biasa.
- Pemegang pasport sedia ada boleh memperbaharui seperti biasa; pasport berkuat kuasa kekal sah hingga tamat tempoh.
- Jabatan Imigresen akan memaklumkan perkembangan pelaksanaan dan mengekalkan komitmen memperkukuh ciri keselamatan serta penyampaian perkhidmatan cekap.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, keputusan penangguhan itu dibuat bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan serta pengalaman urusan orang ramai berada pada tahap yang terbaik.
Beliau memberi jaminan bahawa proses urusan pasport negara tidak akan terjejas berikutan keputusan itu dan orang ramai boleh terus berurusan di kaunter Imigresen seperti biasa.
“Orang ramai masih boleh memperbaharui PMA sedia ada seperti biasa dan pasport yang masih berkuat kuasa kekal sah digunakan sehingga tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, sebarang perkembangan berkaitan pelaksanaan PMA versi baharu akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dari semasa ke semasa.
Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen berterusan JIM untuk memperkukuh ciri keselamatan dokumen perjalanan negara, selain memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap kepada seluruh rakyat Malaysia.