fb fb fb fb fb

Pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar

Seorang pengguna menikmati subsidi petrol RON95 menerusi BUDI95 pada harga RM1.99 seliter. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 30 September - Pelaksanaan subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI95 yang bermula hari ini berjalan lancar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemantauan awal di stesen-stesen minyak mendapati tiada masalah dikesan dan keadaan adalah terkawal.

"Hari ini stesen-stesen minyak umumnya menjadi lebih rancak terutama pada waktu puncak. Keadaan ini bukan berlaku secara spontan, tetapi hasil daripada perancangan yang teratur.

"Kejayaan besar ini turut didorong oleh pelaksanaan pembelian menggunakan MyKad yang kini bukan sahaja boleh dilakukan di kaunter melalui pembaca kad, tetapi juga terus di pam minyak, " katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan September KDN di sini.

Bagi melancarkan proses pelaksanaan inisiatif tersebut, Datuk Seri Saifuddin berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah turun padang untuk membantu menaiktaraf sistem di terminal stesen minyak melibatkan 4,000 stesen di seluruh negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi BUDI95 bermula hari ini tanpa mengira tahap pendapatan.

Menerusi BUDI95, setiap rakyat Malaysia diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan manakala bagi bukan warganegara pula, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter mulai tarikh sama.

JALALUDDIN BIN BAHARIN