
IPOH, 19 November – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak berkompromi sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan berhubung kematian seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar, semalam.
- Fadhlina arah KPM beri kerjasama penuh kepada PDRM bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus, elak spekulasi.
- Rakaman CCTV disahkan berfungsi dan telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.
- Pentadbir dan guru diberi pelepasan tugas sementara; Jemaah Nazir akan meneliti pengurusan serta pematuhan tatacara keselamatan.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata beliau memandang serius kejadian tersebut dan telah mengarahkan KPM memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa. Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.
“Semoga keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook lewat malam tadi.
Beliau berkata perbincangan telah diadakan dengan pihak berkaitan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh juga telah ke lokasi bagi menyelaras tindakan segera.
Menurutnya, kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik dan rakamannya telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Datuk Seri Fadhlina berkata beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan telah diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan.
“Saya turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah esok (hari ini) untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan.
“Bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada Jumaat ini,” katanya.
Menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa, Datuk Seri Fadhlina berkata bantuan psikososial juga telah diberikan kepada mereka yang terkesan.
Semalam, JPN Perak mengesahkan seorang murid tingkatan tiga ditemukan maut di sebuah sekolah di Perak.
Mayat pelajar itu telah dihantar ke Hospital Taiping dan dijadual menjalani bedah siasat 9 pagi ini.- BERNAMA