BATU PAHAT, 14 Januari- Seorang juruteknik kilang kerugian RM554,000 akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud di media sosial.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, wanita berusia 54 tahun itu melihat iklan di Facebook mengenai pelaburan saham dan seterusnya menekan link whatsapp.
Mangsa kemudiannya berurusan dengan wanita warganegara China melalui Whatsapp untuk menyertai skim pelaburan saham yang ditawarkan.
"Mangsa kemudiannya diminta memuat turun aplikasi FTG Group dan mangsa memberikan maklumat peribadinya bagi tujuan pendaftaran.
"Mangsa yang berminat dengan pelaburan itu kemudiannya memasukkan wang berjumlah RM314,000 ke tiga akaun syarikat berbeza secara berperingkat," katanya menerusi kenyataan.
Hasil semakan, mangsa mendapati terdapat keuntungan berjumlah RM2,036, 252.29 di dalam akaun pelaburan tersebut.
Kemudian mangsa kemudian diminta membayar wang tambahan sebanyak RM240,000 sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan daripada akaun tersebut.
Bagaimanapun mangsa diberitahu keuntungan itu tidak dapat dikeluarkan kerana akaun itu terlibat dengan penggubahan wang haram dan sehingga kini mangsa masih tidak menerima keuntungan berkenaan.