KUALA LUMPUR, 31 Mei- Pelaburan RM9.4 bilion oleh Google untuk membina pusat data dan "cloud computing" atau wilayah awan di Malaysia merupakan langkah penting ke arah transformasi digital negara.
Profesor Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin berkata, ia juga bakal menyokong perkhidmatan kritikal seperti Google Search dan Google Maps serta menyediakan perkhidmatan awan berprestasi tinggi kepada pelbagai sektor.
Justeru, universiti dan pusat penyelidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat kecerdasan buatan (Al) melalui pendidikan, latihan, dan peluang penyelidikan yang mendalam.
Shamsul berkata, melalui kerjasama dengan industri dan kerajaan, UTM dapat terus membantu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk menyokong ekosistem inovasi AI.
"Kesemua ini memberi peluang untuk kami melahirkan bakat, sama ada bakat berbentuk jangka sederhana iaitu tiga hingga lima tahun dengan ijazah atau jangka pendek melalui kursus pendek bagi mereka yang sudah berada di alam pekerjaan," katanya kepada pemberita RTM.
Senada dengan perkara itu, Pensyarah Kanan Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik UiTM, Dr. Azliza Ali turut berkata, pelaburan Google berkenaan dapat memberikan peluang dan impak positif dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi.
Ia terutama dalam bidang AI, pengkomputeran awan dan keselamatan siber, sekali gus memberi pendedahan lebih luas kepada pelajar dalam bidang teknologi tinggi.
"Pelaburan ini akan memperkukuhkan ekosistem inovasi AI di Malaysia dan menarik lebih banyak syarikat multinasional dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab teknologi yang lebih kompetitif di rantau ini," katanya.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perkongsian menerusi Facebook berkata, komitmen Google itu juga berpotensi mewujudkan kira-kira 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.
ARTIKEL BERKAITAN
Anwar sambut baik pelaburan Google AS$2 bilion di Malaysia
Pelaburan RM9.4 bilion oleh Google bakal sokong 26,500 pekerjaan - MITI
Pelaburan Google di Malaysia jadi pemangkin kemajuan industri AI tempatan
Pelaburan Google, pelabur yakin dasar pentadbiran negara - Fahmi
PM adakan pertemuan dengan Presiden dan CIO Alphabet, Google