KUALA LUMPUR, 20 Disember- Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah memfailkan notis rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor membatalkan semua 17 pertuduhan pengubahan wang haram ke atasnya semalam.
Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata semua pertuduhan itu membabitkan sembilan tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama, dan lapan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.
Mahkamah Tinggi Kuala semalam memerintahkan Rosmah, 73, dilepaskan dan dibebaskan daripada semua 17 pertuduhan berkenaan.
"Susulan itu, Notis Rayuan telah difailkan oleh Pendakwa Raya pada hari ini terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Mohamad Faisol Keling berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu tidak mempunyai kaitan dengan pendirian kerajaan.
Tegas beliau, AGC memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat oleh hakim berdasarkan fakta dan bukti yang dikemukakan sepanjang prosiding.
Mohamad Faisol berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, prinsip pengasingan kuasa memastikan urusan kehakiman bebas daripada campur tangan mana-mana pihak, termasuk kerajaan.
Oleh itu, dakwaan yang cuba mengaitkan keputusan tersebut dengan kerajaan dianggap tidak berasas.
"Dalam konteks ini, adalah wajar untuk kita menerima keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah mengambil kira pertimbangan terhadap pertuduhan dan menilai kes yang dibawa.
"Saya yakin pihak hakim dan pihak berkuasa khususnya dalam pertuduhan ini telah meneliti bukti-bukti dengan teliti dan membuat keputusan yang selaras dengan fakta yang dikemukakan," katanya kepada RTM hari ini.
Beliau turut menambah sebarang pertikaian terhadap keputusan Mahkamah Tinggi harus dikemukakan melalui saluran yang sah, seperti memohon semakan mahkamah.
Semalam, Hakim K. Muniandy mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tersebut tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Rosmah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan tersebut pada September 2023 dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember tahun lalu selepas sebahagiannya kes itu didengar dengan keterangan daripada dua saksi.
BERITA BERKAITAN