fb fb fb fb fb

Pencarian pesawat MH370 diteruskan di lokasi baharu - Anthony

Foto RTM

PUTRAJAYA, 20 Disember- Pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 akan diteruskan di lokasi baharu.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kerajaan telah bersetuju menerima tawaran daripada syarikat Ocean Infinity yang berpangkalan di United Kingdom.

Misi pencarian dasar laut tersebut meliputi kawasan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dan menggunakan konsep 'no find, no fee'.

"Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui," katanya kepada pemberita dalam Sidang Media Pasca Kabinet Kementerian Pengangkutan di sini.

Katanya, cadangan lokasi oleh Ocean Infinity ialah berdasarkan maklumat dan analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar serta penyelidikan.

Dalam pada itu, Anthony berkata subsidi diesel akan diberikan kepada pengusaha feri dan bot penumpang serta perkhidmatan roro di pulau utama Semenanjung berkuat kuasa 1 Januari depan. 
 
Anthony berkata, tuntutan pertama boleh dikemukakan oleh pengusaha terlibat sebelum 20 Februari 2025.

"Pemberian subsidi ini sejajar dengan usaha keprihatinan kerajaan untuk memastikan kelangsungan dan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM