PETALING JAYA, 20 Disember- Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan tiga negeri termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan hingga 22 Disember ini.
MET Malaysia menerusi kenyataan berkata hujan berterusan tahap buruk dijangka melanda sembilan daerah di Sarawak, melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu.
Manakala, amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan Kapit, Miri dan Limbang.
Dalam tempoh sama, hujan berterusan tahap waspada juga dijangka di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Di Sabah membabitkan pedalaman termasuk Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.
Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 24 Disember ini.
Orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.