KUALA LUMPUR, 6 September- Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum membuat keputusan berhubung representasi ketiga Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata AGC masih memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan berhubung representasi itu memandangkan perkara berkenaan melibatkan LHDN.
“Yang Arif, pada pertemuan terakhir seingat saya, saya mengesahkan bahawa perkara itu telah mencapai persetujuan, tetapi disebabkan kes ini melibatkan LHDN, kami memerlukan lebih banyak masa untuk memutuskan mengenai perkara itu,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K.Muniandy semasa pengurusan kes hari ini.
Ini adalah representasi ketiga yang dihantar oleh Rosmah. Representasi pertama dan kedua telah dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos tahun lepas, tetapi AGC masih belum membuat keputusan.
Memandangkan perkara itu tidak dibantah oleh peguam Rosmah, Joshua Tay mahkamah kemudian menetapkan 11 Okt untuk meneruskan hujahan permohonan Rosmah bagi membatalkan semua pertuduhan itu.
Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memfailkan permohonan tersebut pada 4 Okt 2020.
Perbicaraan kes itu dimulakan pada 24 Ogos tahun lepas dengan dua saksi telah memberi keterangan.
Rosmah, 72, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017, dan di Pejabat LHDN di Kompleks Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara Mei 1, 2014 dan 1 Mei 2018. -BERNAMA