fb fb fb fb fb

Budayakan al-Quran, bentuk cabang gagasan Malaysia MADANI- Dr Zulkifli

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan

KUALA KUBU BHARU, 20 Disember- Membudayakan al-Quran dalam kehidupan mampu menjadikan masyarakat lebih maju, bertamadun dan inklusif tanpa meninggalkan nilai-nilai moral dan agama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata melalui ilmu al-Quran, ia mampu menjamin kemajuan dan peradaban ajaran Islam melalui ilmu pengetahuan yang lebih komprehensif.

"Bukan sahaja pendidikan itu yang penting tetapi, pendidikan al-Quran itu yang membentuk minda rakyat Malaysia supaya rakyat Malaysia ini apabila dia memahami al-Quran, jiwa dia damai, aman, kasih sayang, tidak ada rasa perkauman, rasa diskriminasi.

"Jadi minda al-Quran itu sendiri adalah minda yang rahmah, jadi ini yang penting. Kalau kita banyak mengajar al-Quran, tapi minda masih lagi minda yang marah-marah, ianya bukan al-Quran.

"Jadi wacana MADANI ini ingin mengajak semua untuk kembali kepada original ataupun falsafah al-Quran itu sendiri yang membawa rahmah ke seluruh alam", jelasnya.

Selain itu, gagasan Malaysia MADANI konsisten dalam menyuburkan sifat ihsan, peduli dan kasih sayang setiap masyarakat, mampu mewujudkan keharmonian serta kesejahteraan sejagat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat dan Wacana Minda Madani di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu dalam rangka lawatan kerja sehari beliau ke Hulu Selangor.

Dalam pada itu beliau turut menyantuni para pelajar orang kurang upaya (OKU) penglihatan Darul Quran yang mengikuti Program Sijil Asas Tahfiz Darul Quran.

Beliau kemudiannya menunaikan solat jumaat di Masjid Bandar Utama, Batang Kali, sebelum menyampaikan bantuan kepada 50 buah keluarga asnaf dalam Sesi Jerayawara Madani Peduli & Ziarah Kasih di Balai Raya Taman Seri, Batang Kali.

ROSLINA BINTI DIN