PADANG TERAP, 20 Disember- Kenaikan gaji dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa semalam diharap mampu memberi motivasi kepada penjawat awam untuk bekerja dengan lebih produktif, beramanah dan berintegriti.
Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Kamarul Azman Khamis berkata, kenaikan tersebut juga menunjukkan keprihatinan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kebajikan para penjawat awam.
"Skim kenaikan gaji yang cukup baik kepada semua kakitangan kerajaan daripada gred bawahan hingga gred atasan. Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu masyarakat, membantu rakyat dan membantu mana-mana saja kakitangan kerajaan dalam meningkatkan lagi produktiviti mereka, berdaya saing di dalam institusi ataupun pekerjaan yang telah mereka nikmati", katanya kepada RTM.
Beliau berharap, dengan kenaikan gaji tersebut penjawat awam perlu bijak berbelanja secara berhemah.
Penjawat awam juga perlu menjadi tenaga kerja yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan dan utuh khususnya dalam merencana sebuah kerajaan yang sistematik dan kerajaan berdaya saing dalam meningkatkan sumber ekonomi kepada semua rakyat di Malaysia.
Pelarasan gaji secara berfasa iaitu lapan peratus yang dilaksanakan bermula bulan ini telah dinikmati anggota perkhidmatan dan pesara awam dengan bayaran pertama bermula semalam.
Menerusi pelaksanaan SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi fasa satu pada Disember 2024. Manakala tujuh peratus untuk fasa dua pada Januari 2026.
Sementara itu, Kumpulan Pengurusan Tertinggi akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi fasa satu dan tiga peratus bagi fasa dua, menerusi SSPA yang diumumkan Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu.