KUALA LUMPUR, 19 Disember - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K. Muniandy mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tersebut tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan tersebut pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Dis tahun lalu, selepas sebahagiannya kes ini didengar dengan keterangan daripada dua saksi. - BERNAMA