KAJANG, 5 Ogos – Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) perlu sentiasa dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran terkini sejajar dengan perubahan evolusi bahan dadah yang semakin kompleks.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, masalah dadah di negara ini telah berlarutan lebih empat dekad, namun kini berdepan dengan cabaran baharu khususnya melibatkan dadah sintetik yang memberi kesan psikologi dan fisiologi yang lebih kompleks kepada penagih.
“Empat puluh tahun lalu kita tidak bercakap tentang dadah sintetik, semuanya dadah konvensional. Hari ini, dadah sintetik menyebabkan kesan seperti halusinasi, menjadikan seseorang itu bukan dirinya yang sebenar ketika berada dalam pengaruh dadah,” katanya pada sidang media Majlis Penutupan i-Deen Kepulihan AADK 2025 di Ibu Pejabat AADK, Kajang hari ini.
Justeru, beliau menegaskan bahawa pegawai AADK, khususnya yang terlibat secara langsung dalam pemulihan, perlu memiliki tahap pengetahuan dan kepakaran yang setara dengan perubahan tersebut.
“Klien yang datang ke pusat pemulihan hari ini mempunyai latar belakang ketagihan yang berbeza-beza dari segi jenis dadah, tahap kebergantungan, simptom serta punca ketagihan. Maka pendekatan rawatan tidak boleh bersifat satu formula untuk semua,” jelasnya.
Datuk Seri Saifuddin berkata, AADK sebagai agensi utama dalam program pemulihan dadah perlu menyesuaikan diri dengan dinamika semasa dan memastikan barisan pegawainya sentiasa bersedia dari segi keilmuan dan kompetensi.
Beliau turut menyarankan agar latihan, pendedahan dan kursus berkaitan dadah moden, psikologi penagih serta intervensi rawatan terus diperkasakan bagi memperkukuh keberkesanan pemulihan di pusat-pusat AADK seluruh negara.
Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Hussein Omar Khan
Majlis tersebut merupakan penutup kepada Program i-DEEN AADK 2025, iaitu program berasaskan pendekatan psiko-spiritual yang bertujuan membentuk klien AADK menjadi insan berakhlak, berdaya tahan dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
Program ini melibatkan penyertaan ratusan klien dari seluruh negara yang sedang menjalani rawatan dalam komuniti dan institusi dan turut menampilkan pertandingan seperti tilawah, hafazan serta lagu ketuhanan sebagai medium pembentukan sahsiah diri.