fb fb fb fb fb

PBAPP sedia 13 lori tangki, elak gangguan air musim perayaan

Foto hiasan

GEORGE TOWN, 8 April- Sebanyak 13 lori tangki akan disediakan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) sebagai langkah siap siaga untuk mengelak atau meminimumkan gangguan bekalan air tidak berjadual dalam situasi cuaca panas dan kering pada musim perayaan Aidilfitri 2024.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Pathmanathan menerusi kenyataan berkata, Pelan Kontingensi Air Hari Raya Aidilfitri 2024 PBAPP bermula semalam hingga 14 April ini untuk jangkaan penggunaan air yang tinggi sebelum dan semasa musim perayaan yang panas dan kering.

Beliau berkata lori tangki itu, termasuk tiga lori tangki jumbo berkapasiti maksimum, 40,000 liter setiap satu, bersedia untuk berkhidmat di beberapa kawasan kejiranan di Seberang Perai Selatan serta beberapa kejiranan kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan di Relau dan Bukit Belah, Daerah Barat Daya.

"PBAPP menjangkakan penggunaan air ketika tempoh balik kampung dan perayaan Hari Raya Aidilfitri, dalam tempoh ini mungkin bersamaan atau melebihi 927 juta liter sehari (JLH). 927 JLH adalah 50 JLH lebih tinggi daripada purata tahunan 877 JLH tahun lepas", katanya.

Sebagai langkah pencegahan dan mitigasi, PBAPP turut akan menempatkan 47 tangki air statik dengan kapasiti maksimum 2,000 liter di lokasi strategik kawasan terlibat bermula semalam hingga 14 April ini.

ROSLINA BINTI DIN