KUALA LUMPUR, 29 Julai - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengetuai delegasi diplomatik ke Thailand dan Kemboja bagi memudah cara perbincangan, susulan persetujuan kedua-dua negara untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, beberapa pertempuran kecil telah dilaporkan selepas gencatan senjata berkuat kuasa, namun ia telah ditangani dalam mesyuarat susulan antara komander wilayah kedua-dua negara pada 10 pagi tadi.
Kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk mematuhi perjanjian gencatan senjata, melarang sebarang serangan terhadap orang awam, menghentikan penambahan anggota tentera dan melarang pergerakan ketenteraan.
Thailand dan Kemboja juga bersetuju memudahkan pemulangan anggota yang tercedera dan terkorban, serta menubuhkan pasukan penyelarasan empat wakil dari setiap pihak menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am atau GBC yang dijadualkan 4 Ogos ini.
Delegasi Malaysia akan meneruskan perjalanan ke Phnom Penh untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Kemboja.