KUALA LUMPUR, 12 Mac- Sebuah panel dinding di Stesen LRT Masjid Jamek runtuh dalam kejadian hujan ribut kira-kira pukul 4.04 petang tadi.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan besar pada struktur stesen.
"Perkhidmatan tren dan operasi seperti biasa dan semua penumpang boleh meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
"Kerja-kerja pembersihan dan baik pulih sedang giat dijalankan oleh pasukan fasiliti Rapid KL, manakala jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian secara terperinci untuk memastikan struktur binaan Stesen Masjid Jamek selamat," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu polis bantuan turut ditempatkan di lokasi kejadian bagi melancarkan pergerakan penumpang.
Rapid Rail turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan akan mengemas kini perkembangan terkini melalui media sosial Rapid KL.