KUANTAN, 18 November - Pendekatan baharu dalam penambahbaikan sistem pemantauan kebersihan premis makanan diadakan menerusi Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Razali Kassim berkata, usaha itu bukan sahaja memastikan imej Pahang terpelihara sebagai destinasi makan-makan selamat dan diyakini, malah pelengkap kepada persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita berharap acara ini dapat menarik pelancong untuk hadir. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan membantu para usahawan dan peniaga meningkatkan ekonomi mereka, menambah pendapatan, serta secara tidak langsung mempromosikan negeri Pahang,” katanya selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang Tahun 2025 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini.
Jelas beliau, program itu bermula awal tahun ini dengan menumpukan premis yang menjadi destinasi pelancong dan orang ramai dengan menumpukan empat komponen asas penilaian, kebersihan dan keselamatan makanan, pemantauan halal, pematuhan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pematuhan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Inisiatif itu dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dengan kerjasama KPDN, PBT dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seluruh negeri.
Pada majlis tersebut, sebanyak 52 premis makanan menerima Plak DMMSNP dan sijil pengiktirafan.
Premis-premis tersebut telah mencapai kriteria pematuhan DMMSNP merangkumi restoran, kedai kek, premis makanan viral serta premis berkonsepkan makanan tradisi.
Sementara itu, JKNP telah memeriksa 10,188 premis makanan di seluruh negeri Pahang dan daripada jumlah itu 96.9 peratus adalah bersih bagi tempoh sehingga Oktober lalu.
Manakala, 306 premis makanan pula diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 untuk tempoh tidak melebihi 14 hari bagi kerja-kerja pembersihan.
JKNP turut mengeluarkan 4,767 Notis 32B dibawah kesalahan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai kompaun lebih 1.29 juta ringgit.