fb fb fb fb fb

Pahang setuju biaya kos rawatan penjawat awam dan pesara di SASMEC - MB

Foto Fail

KUANTAN, 8 April- Kerajaan Pahang bersetuju membiaya kos rawatan penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri di Sultan Ahmad Shah Medical Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC at IIUM), Kuantan, berkuat kuasa mulai bulan ini.

Keputusan yang dibuat menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang pada 3 April lalu itu, merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan penjawat awam, terus dijaga.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan berkata pembiayaan kos rawatan berkenaan meliputi penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan penanggungan 100 peratus bil rawatan ubat khas, ubat non-formulary (NF) dan implan.

"Bagi pembiayaan kos rawatan bagi kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pihak Berkuasa Berkanun (PBB) adalah ditanggung agensi masing-masing, pada kadar yang sama," kata kenyataan itu.

Katanya, keputusan tersebut sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik-klinik kerajaan.

Beliau berharap menerusi pembiayaan itu, penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri dapat menggunakan perkhidmatan rawatan kesihatan di SASMEC at IIUM dengan sebaik-baiknya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM