Parasit bawaan makanan sebabkan cirit-birit di AS

Foto hiasan

NEW YORK, 11 Julai – Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai penularan jangkitan parasit bawaan makanan, Cyclospora, yang menyebabkan cirit-birit teruk di puluhan negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • 31 negeri melaporkan kes, puluhan pesakit dimasukkan ke hospital, namun tiada kematian direkodkan.
  • Negeri Michigan mencatat jumlah kes tertinggi dengan 1,562 kes setakat Jumaat.
  • Jangkitan dikaitkan dengan pengambilan hasil segar seperti salad, daun ketumbar, selasih, raspberi, kacang pis dan daun bawang.
  • Disyorkan mencuci bersih bahan segar atau memasak pada suhu melebihi 70 darjah Celsius untuk membunuh parasit.

Negeri Michigan mencatat jumlah kes tertinggi dengan 1,562 kes direkodkan setakat Jumaat.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), sebanyak 31 negeri melaporkan kes penyakit itu setakat Khamis, dengan puluhan pesakit dimasukkan ke hospital, namun tiada kematian direkodkan.

Punca pencemaran masih belum dikenal pasti, namun jangkitan itu lazimnya dikaitkan dengan pengambilan hasil segar seperti salad, daun ketumbar, selasih, raspberi, kacang pis dan daun bawang.

Jika tidak dirawat, penyakit itu boleh berlarutan melebihi sebulan dan menyebabkan dehidrasi, walaupun jarang mengancam nyawa.

Pihak berkuasa mengesyorkan orang ramai mencuci bersih bahan makanan segar atau memasaknya pada suhu melebihi 70 darjah Celsius bagi membunuh parasit berkenaan.

CDC turut memaklumkan jumlah sebenar kes dijangka lebih tinggi kerana kaedah pelaporan berbeza antara negeri, selain lebih 1,500 kes lagi masih dalam proses pengesahan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.