
JOHOR BAHRU, 11 Julai – Cuaca cerah mengiringi permulaan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini di kebanyakan kawasan di seluruh negeri, kecuali di Muar yang dilanda hujan lebat sejak awal pagi.
- Petugas SPR, anggota keselamatan dan media berada di pusat pengundian seawal 7 pagi.
- Di SK Seri Pantai Mersing, OKU dan warga emas diberi kebenaran masuk lebih awal ke pusat mengundi.
- Lebih 2.7 juta pengundi memilih wakil untuk 56 kerusi, 172 calon dan 1,076 pusat mengundi di seluruh Johor.
- Proses pengundian bermula 8 pagi, waktu tutup berbeza mengikut pusat sebelum pengiraan undi dijalankan.
Tinjauan Bernama di beberapa pusat mengundi mendapati petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota keselamatan serta pengamal media telah berada di lokasi seawal 7 pagi.
Di Sekolah Kebangsaan Seri Pantai, Mersing cuaca cerah dengan pengundi termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas antara yang terawal dibenarkan memasuki pusat mengundi.
Keadaan cuaca sama di Dewan Raya Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang, Batu Pahat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai.
Bagaimanapun, hujan lebat sejak awal pagi tidak menghalang pengundi hadir ke pusat mengundi antaranya SJKC Limbong dan Sekolah Kebangsaan Ismail 1 untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Lebih 2.7 juta pengundi akan memilih wakil rakyat masing-masing hari ini bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi 172 calon di 1,076 pusat mengundi di seluruh Johor.
Proses pengundian bermula 8 pagi dengan waktu penutupan berbeza mengikut pusat mengundi yang ditetapkan SPR, sebelum pengiraan undi dijalankan sejurus selepas tamat tempoh pengundian.
Sebelum pembubaran DUN pada 1 Jun lepas, Barisan Nasional (BN) menguasai 40 kerusi diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga), manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) satu kerusi.- BERNAMA