KUALA LUMPUR, 9 Februari- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian dan terlalu mudah percaya dengan maklumat yang disebarkan menerusi media sosial susulan kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor, malam tadi.
Menurut beliau sebarang maklumat perlu dirujuk menerusi sumber sahih termasuk media arus perdana dan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Jangan bertindak seolah-olah kita berada di di lokasi kejadian dan bertindak sebagai penyiasat dalam kes tersebut dengan pelbagai andaian dan teori. Saya rasa kita perlu berpada-pada sehingga ada individu yang cuba menghasilkan kandungan seolah-olah benda itu betul.
"Kita lihat apa yang berlaku di Indonesia, pempengaruh Malaysia yang mendakwa kononnya salah seorang kru telah hilang. Tetapi tindakan itu merupakan satu penipuan untuk menghasilkan kandungan.
"Jadi jangan terlalu mudah percaya apa yang tersebar dalam media sosial. Kita perlu ada rujukan berita rasmi contohnya berita RTM, Bernama dan media arus perdana lain.
"Selain itu, boleh juga merujuk kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama dalam hal-hal berkaitan dengan kes-kes jenayah," katanya ketika mengulas berhubung ketika tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Perayaan 60 Tahun Silat Cekak di Angkasapuri Kota Media.