fb fb fb fb fb

Op Selamat: Jumlah kemalangan di Selangor catat pengurangan



SHAH ALAM, 1 Februari-
Jumlah kemalangan jalan raya di Selangor mencatatkan penurunan sebanyak 486 kes atau 29.5 peratus kepada 1,163 dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 berbanding 1,649 kes pada 2020.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah kemalangan maut juga mencatatkan pengurangan kepada enam kes berbanding 11 kes yang dicatatkan dalam Op Selamat 16, dua tahun lalu.

"Kebanyakan kemalangan berlaku adalah disebabkan pengguna jalan raya gagal mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan, termasuk memandu laju dan penunggang motosikal yang tidak menggunakan lorong motosikal," katanya ketika meninjau pelaksanaan Op Selamat di Lebuhraya Persekutuan di sini.

Tambah beliau, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa lokasi kerap berlaku kemalangan di sekitar Selangor.

"Ia merujuk kepada laluan selain di lebuh raya iaitu di Persiaran Tengku Ampuan dan Jalan Meru di Klang, Persiaran Surian di Petaling Jaya, Jalan Nilai-Bukit Changgang di Sepang, MRR2 di Ampang Jaya dan jalan Klang-Banting," katanya.

Selain di jalan raya, tumpuan turut diberi terhadap keselamatan kediaman yang ditinggalkan ketika orang ramai pulang bercuti di kampung halaman.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada laporan pecah rumah diterima dan pihaknya akan terus mempergiat rondaan di kawasan terlibat.

Media Baharu