
PUTRAJAYA, 31 Julai – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata lebih ramai individu akan dipanggil bagi membantu siasatan terhadap sindiket yang dipercayai menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) menerusi Op Crack.
- SPRM akan memohon lanjutan reman terhadap 12 individu yang tamat tempoh reman.
- Tertuduh termasuk dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai Imigresen, dua pegawai IT dan seorang pegawai polis.
- Identiti individu yang dipanggil tidak didedahkan kerana siasatan masih dijalankan.
- Siasatan awal mendapati 1,306 PLKS palsu, kerugian dianggarkan RM2.4 juta; SPRM menyita wang tunai dan pelbagai peralatan elektronik.
Beliau berkata SPRM akan membuat permohonan lanjutan reman terhadap 12 individu yang tamat tempoh hari ini.
Bagaimanapun katanya ia tertakluk kepada keputusan mahkamah.
“Kesemua yang direman itu terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai Jabatan Imigresen, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat Jabatan Imigresen, dan seorang pegawai polis daripada dua syarikat disyaki terlibat dalam proses permohonan dan kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan secara tidak sah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas SPRM yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban di sini.
Mengulas lanjut katanya identiti kesemua individu yang dipanggil tidak boleh didedahkan susulan siasatan masih dijalankan.
Op Crack, operasi bersepadu SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia bagi membongkar sindiket yang dipercayai menggodam sistem MyIMMs bagi memproses dan meluluskan PLKS secara tidak sah yang menggunakan kuota sedia ada tanpa pembayaran levi kepada kerajaan.
Datuk Seri Abd Halim memberitahu siasatan awal mendapati sindiket terbabit berjaya mengeluarkan sebanyak 1,306 PLKS palsu yang mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dianggarkan RM2.4 juta.
“Operasi turut menyita wang tunai berjumlah RM186,360 dan SGD700 selain merampas pelbagai peralatan elektronik termasuk 19 unit telefon bimbit, enam komputer riba, dua komputer meja, dua unit CPU serta sebuah penghala,” katanya lagi.