
SEREMBAN, 31 Julai – Kerajaan bercadang memperluaskan skop siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) merangkumi tempoh selepas tahun 2020, termasuk tindakan susulan selepas itu.
- Kerajaan akan menerbitkan laporan penuh RCI mengenai pengurusan dan operasi Tabung Haji secara telus tanpa sebarang tapisan atau suntingan.
- Mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab akan disiasat dan didakwa mengikut proses perundangan serta sistem kehakiman berkuat kuasa.
- Timbalan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menyokong pendedahan laporan; langkah ini bukan untuk meraih undi tetapi bagi ketelusan dan pembelajaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu dibangkitkan dalam perbincangan Jemaah Menteri bagi memastikan perkembangan selepas tempoh siasatan sedia ada turut diteliti secara menyeluruh.
“Kita akan dedahkan laporan keseluruhan, cadangan dan proses yang diambil. Ini bermakna siasatan meliputi tempoh sebelum 2020. Dalam perbincangan ringkas Jemaah Menteri, terdapat pandangan supaya skop siasatan diperluas bagi meneliti perkembangan selepas tempoh itu.
Kita mahu mengetahui dengan tepat apa yang berlaku selepas itu serta tindakan yang telah diambil oleh pelbagai jawatankuasa, termasuk Lembaga Tabung Haji ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Paroi Jaya, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan, laporan penuh RCI berhubung pengurusan dan operasi TH diterbitkan kepada umum secara telus tanpa sebarang tapisan atau suntingan.
Beliau berkata, kerajaan tidak memotong mana-mana bahagian laporan bagi membolehkan umat Islam dan rakyat Malaysia meneliti keseluruhan dapatan siasatan, termasuk syor yang dikemukakan RCI sebagai panduan agar kelemahan sama tidak berulang.
Datuk Seri Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab perlu disiasat dan didakwa mengikut proses perundangan serta sistem kehakiman yang berkuat kuasa.
Mengulas dakwaan bahawa pendedahan laporan itu boleh menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta anggota Jemaah Menteri menyokong keputusan untuk menerbitkan laporan berkenaan.
“Datuk Seri Zahid dan rakan-rakan (dalam kerajaan) menyokong pendedahan keseluruhan laporan itu. Jadi, tidak timbul soal kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan akan terjejas kerana Datuk Seri Zahid sangat terbuka membenarkan perkara ini dibincangkan dan diterbitkan.
Memang saya yang mengemukakan cadangan itu, namun ia disokong dan dipersetujui Jemaah Menteri,” katanya.
Mengulas sama ada pendedahan laporan RCI itu mampu mempengaruhi sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, langkah berkenaan bukan bertujuan meraih undi.
“Ini bukan soal meraih undi kerana isu ini terlalu besar. Sama ada pengundi dapat memahami keseluruhan isu ini dalam tempoh singkat, itu perkara lain. Bagi saya, sama ada menang atau kalah, perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan,” katanya.
Pada Rabu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan laporan RCI setebal 211 muka surat berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.