
BUKIT MERTAJAM, 31 Julai – Sebanyak 75 agensi melibatkan Kerajaan Negeri, Persekutuan serta sektor swasta menerima Jalur Gemilang sempena Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 peringkat Negeri Pulau Pinang, pagi tadi.
- Penyerahan Jalur Gemilang simbolik komitmen bersama menyemarakkan kibaran bendera di seluruh negeri sepanjang bulan kebangsaan.
- Penerima terdiri daripada 32 agensi Kerajaan Negeri, 41 agensi Persekutuan dan dua wakil sektor swasta.
- Sambutan Bulan Kebangsaan platform memperbaharui semangat cinta negara serta mengukuhkan perpaduan dan kebersamaan rakyat.
- Konvoi Jalur Gemilang dengan 18 kenderaan diedarkan bendera di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah bagi menyemarakkan patriotisme.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penyerahan tersebut menjadi simbolik komitmen bersama dalam menyemarakkan lagi gelombang kibaran Jalur Gemilang di seluruh negeri sepanjang bulan kebangsaan.
Menurut beliau, penerima terdiri daripada 32 agensi Kerajaan Negeri, 41 agensi Persekutuan serta dua wakil sektor swasta.
Beliau menegaskan, sambutan Bulan Kebangsaan merupakan platform penting untuk rakyat memperbaharui semangat cintakan negara, selain mengukuhkan perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Program pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang adalah satu acara yang amat penting kerana dalam tempoh ini kita memperbaharui tekad sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan negara sendiri, selain memperkukuh semangat perpaduan serta membawa negara ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Kibar Jalur Gemilang di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, di sini.
Sementara itu, majlis turut diserikan dengan pelepasan Konvoi Jalur Gemilang Negeri Pulau Pinang yang melibatkan 18 kenderaan pelbagai jabatan.
Konvoi berkenaan berlepas dari lokasi sama menuju ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bagi mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengguna lebuh raya di jambatan kedua tersebut, sekali gus menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.