
GEORGE TOWN, 31 Julai – Laluan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) dari arah Batu Maung menuju ke Batu Kawan (arah barat) akan ditutup sementara pada 8 Ogos ini sempena penganjuran acara ‘Cultural Night Run 2026.
- Laluan JSAHMS dari Batu Maung ke Batu Kawan akan ditutup sementara antara jam 8.00 malam hingga 3.00 pagi.
- Laluan bertentangan dari Batu Kawan ke Batu Maung kekal dibuka; akses dari Bandar Cassia, BKIP ke PLUS tidak terjejas.
- Pengguna dinasihatkan guna Jambatan Pulau Pinang sebagai laluan alternatif, mematuhi papan tanda serta arahan trafik; hubungi hotline JKSB 1-300-30-2828.
Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan tersebut akan bermula dari jam 8.00 malam hingga 3.00 pagi keesokan harinya, 9 Ogos.
Menurut JKSB, penutupan itu melibatkan laluan dari Batu Maung ke Batu Kawan sahaja, manakala laluan bertentangan dari Batu Kawan ke Batu Maung masih dibuka seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan.
“Laluan dari Bandar Cassia, Batu Kawan dan Batu Kawan Industrial Park (BKIP) ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) turut tidak terjejas dan boleh digunakan oleh pengguna jalan raya,” menurut kenyataan itu.
Bagi pengguna yang ingin melakukan perjalanan dari Pulau Pinang ke tanah besar (mainland), mereka disarankan menggunakan Jambatan Pulau Pinang sebagai laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan.
Sehubungan itu, JKSB menasihatkan semua pengguna lebuh raya supaya mematuhi papan tanda serta arahan trafik yang disediakan bagi memastikan kelancaran perjalanan dan keselamatan semua pihak.
Untuk maklumat lanjut berkaitan trafik atau bantuan kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline JKSB di 1-300-30-2828.