
PADANG BESAR, 31 Julai – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memperkukuh langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku pada November ini, termasuk menjalankan pemantauan berterusan terhadap empangan dan loji rawatan air (LRA) di seluruh negara.
- Empangan Timah Tasoh (Perlis) dan Empangan Lebam (Johor) berada pada tahap kritikal.
- Daripada 43 empangan dipantau, 35 normal, empat waspada, dua amaran, dua kritikal.
- JPS dan SAP laksana mitigasi: pam sementara, mengorek saliran tersumbat dan langkah lain untuk pastikan bekalan.
- SPAN jangka bekalan air mencukupi sehingga hujung tahun; pemantauan berterusan dan pelan kecemasan akan diteruskan.
Pengerusi Jawatankuasa Kecemasan dan Kesediaan Risiko (JKKR) SPAN, Sulaiman Kamisan berkata, pemantauan dilakukan untuk menilai keadaan semasa sumber air serta tahap kesiapsiagaan agensi berkaitan dalam memastikan bekalan air terus terjamin.
“Berdasarkan maklumat yang kita terima daripada Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa negara dijangka berdepan fenomena Super El Nino tahun ini, kita mengadakan lawatan ke Kedah dan Perlis untuk meninjau keadaan sumber air di kedua-dua negeri serta melihat perancangan yang telah dibuat oleh agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini Perlis antara negeri yang diberi perhatian berikutan paras Empangan Timah Tasoh berada pada tahap kritikal.
Bagaimanapun, pelbagai langkah mitigasi telah dilaksanakan, termasuk pemasangan pam sementara, kerja mengorek saliran yang tersumbat serta tindakan lain oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP).
“Kita telah meminta pihak JPS dan SAP melaksanakan perancangan jangka pendek serta sederhana bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga Ogos atau September yang dijangkakan hujan kembali turun,” katanya.
Dalam kenyataan sempena lawatan kerja itu, SPAN memaklumkan sehingga semalam, sebanyak 35 daripada 43 empangan yang dipantau di seluruh negara berada pada paras normal.
Empat empangan berada pada tahap waspada, dua pada tahap amaran, manakala dua lagi berada pada tahap kritikal, iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis dan Empangan Lebam di Johor.
SPAN turut menjangkakan bekalan air di seluruh negara kekal mencukupi sehingga penghujung tahun ini.
Bagaimanapun, pemantauan berterusan serta pelaksanaan pelan tindakan kecemasan akan diteruskan sekiranya fenomena Super El Nino menjejaskan operasi bekalan air.