fb fb fb fb fb

ONSA 2025 bendung penyebaran kandungan berbahaya dalam talian

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Disember - Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025) diperkenalkan sebagai salah satu Inisiatif kerajaan bagi memastikan platform media sosial lebih bertanggungjawab dalam mengawal selia kandungan pengguna.

Pelaksanaan akta ini memastikan kandungan di media sosial dipantau dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan penyebaran maklumat palsu, buli siber, dan kandungan berbahaya bagi mewujudkan persekitaran Internet yang lebih selamat.

Melalui ONSA 2025, kerangka kawal selia lebih proaktif diwujudkan dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform media sosial untuk mengurus kandungan berisiko tinggi seperti bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), kandungan lucah, kandungan sumbang serta kandungan berkaitan kemudaratan diri.

Menurut Pakar Psikologi Perkembangan Kanak-kanak dan remaja Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail, pendedahan kepada buli siber, pengantunan (grooming) dan kandungan berbahaya dalam talian boleh menjejaskan emosi kanak-kanak, termasuk mencetuskan kebimbangan, tekanan dan rasa tidak selamat.

" Ketidakmatangan usia turut meningkatkan risiko kekeliruan identiti, khususnya dalam kalangan remaja.

"Ibu bapa berperanan sebagai pelindung emosi utama kanak-kanak di ruang digital dengan menyediakan persekitaran yang selamat, mengawal pendedahan kandungan serta menjadi sumber sokongan emosi," jelas beliau.

Namun, realitinya masih ramai ibu bapa yang kurang bersedia dari segi literasi digital dan kefahaman terhadap kesan teknologi terhadap perkembangan emosi kanak-kanak.

Sehubungan itu, pelancaran Kempen Internet Selamat (KIS) akan terus diperkasa bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap ancaman keselamatan digital seperti buli siber, penipuan atas talian dan perjudian digital.

Kempen berkenaan dilaksanakan dari 2025 hingga 2027 menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat sebagai usaha membina ekosistem digital.

AZRUL FAIZAL JUSOH