
KUALA LUMPUR, 21 September – Turkiye menyasarkan penyertaan lebih ramai golongan orang kurang upaya (OKU) dalam pentadbiran negara, termasuk memegang jawatan penting bagi memastikan keupayaan mereka terus diberi ruang dalam pembangunan negara.
- Filem 'A Piece Of Grain' diinspirasikan oleh kisah hidup Serkan sebagai OKU dan usahanya mencapai impian.
- Serkan mencadangkan penubuhan badan khas PBB untuk memperjuangkan hak golongan OKU di peringkat antarabangsa.
- Beliau telah menyuarakan cadangan itu di Geneva, Parlimen UK, Parlimen Eropah dan Majlis Eropah.
- KLYEE di bawah Kedutaan Turkiye mempromosi bahasa, budaya dan seni serta mengukuhkan pertukaran budaya antara Malaysia dan Turkiye.
Ahli Parlimen Turkiye, Serkan Bayram berkata usaha itu penting bagi memastikan golongan OKU mendapat peluang sama rata dalam badan perundangan, kehakiman dan pentadbiran.
“Kami berusaha untuk membina dunia tanpa halangan dan penuh kedamaian, supaya tiada siapa yang ketinggalan hanya kerana keupayaan mereka.
“Di Turki, matlamat kami adalah untuk mempunyai wakil OKU di badan perundangan, kehakiman dan pentadbiran. Kami berharap agar ada gabenor, duta dan menteri daripada kalangan OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM sebelum tayangan filem A Piece Of Grain: The Journey Of A Single Seed di Pusat Kebudayaan Turkiye Institut Yunus Emre Kuala Lumpur (KLYEE), hari ini.
Filem itu diinspirasikan daripada kisah kehidupan Serkan dalam mengharungi cabaran sebagai seorang OKU dan usahanya mencapai impian.
Sementara itu, Serkan turut mencadangkan penubuhan badan khas di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memperjuangkan hak golongan OKU di peringkat antarabangsa.
Katanya, badan itu boleh berperanan seperti UNICEF yang memperjuangkan hak kanak-kanak dan UN Women yang memberi fokus kepada hak wanita.
“Di PBB, UNICEF memperjuangkan hak kanak-kanak, UN Women memperjuangkan hak wanita, manakala bagi 1.3 bilion golongan OKU di dunia belum ada badan khas.
“Saya telah menyuarakan cadangan untuk menubuhkan badan khas itu di Geneva, Parlimen UK, Parlimen Eropah dan Majlis Eropah,” katanya.
KLYEE merupakan institut di bawah Kedutaan Republik Turkiye di Malaysia yang memainkan peranan mempromosikan bahasa, budaya dan seni Turkiye menerusi pelbagai program kebudayaan serta pendidikan.
Inisiatif itu turut menjadi platform memperkukuh pertukaran budaya dan hubungan antara masyarakat Malaysia dan Turkiye.