JOHOR BAHRU, 24 Mei- Nurul Izzah Anwar melakar kemenangan besar pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan memperoleh 9,803 undi; menewaskan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk diangkat sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2025-2028.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula kekal sebagai Presiden KEADILAN selepas menang tanpa bertanding.
Manakala, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berjaya meraih undi tertinggi untuk mengungguli persaingan bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang membabitkan 103 calon, diikuti bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim.
"Saya jangkakan, dalam tempoh beberapa minggu ke hadapan, rakan-rakan mungkin akan mengambil sedikit masa untuk kembali ke kawasan masing-masing dan bertemu dengan anggota akar umbi.
"Namun, selepas itu, kita akan mulakan gerak kerja untuk menyantuni bukan sahaja di peringkat cabang, tetapi juga akar umbi," kata Datuk Fahmi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini.
Turut tersenarai, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita KEADILAN selepas menewaskan pencabarnya, Rodziah Ismail.
Bekas Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, juga diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua AMK selepas tiada pencabar.
BERITA BERKAITAN: