fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh peralihan ke arah logistik hijau

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah/RTM

SEPANG, 13 November - Malaysia komited memperkukuh peralihan ke arah sistem logistik hijau sebagai sebahagian daripada usaha mencapai matlamat Net Zero 2050.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, transformasi hijau sektor pengangkutan perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui penggunaan teknologi bersih, automasi dan pendigitalan logistik, selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan industri.

Datuk Hasbi menjelaskan, Kementerian Pengangkutan (MOT) terus memperkukuh dasar serta menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan industri melaksanakan amalan mesra alam.

Antara kemudahan disediakan termasuk Green Investment Tax Allowance (GITA), Green Technology Financing Scheme (GTFS), serta sokongan di bawah Smart Logistics Complex dan Domestic Investment Accelerator Fund (DIAF) bagi mempercepatkan adaptasi automasi serta pengurangan pelepasan karbon.

"Secara kolektif, insentif ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk membantu syarikat menaik taraf, menyahkarbon dan bersaing secara mampan, memastikan tiada perniagaan, besar atau kecil, ketinggalan dalam peralihan ke arah logistik rendah karbon” katanya ketika menyampaikan ucapan bagi pihak Menteri Pengangkutan Anthony Loke, sempena Ekspo Pengangkutan Asia (TXA 2025) di Hotel Sama-Sama, KLIA, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia kini memainkan peranan penting sebagai Negara Peneraju ASEAN Inisiatif Logistik Hijau, di bawah Pelan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur, bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang logistik hijau.

“Melalui inisiatif ini, Malaysia bukan sahaja memperkukuh keupayaan domestik tetapi turut memacu agenda hijau di peringkat ASEAN,” jelasnya.

TXA 2025 merupakan platform strategik untuk menghubungkan pembuat dasar dan penggiat industri bagi membincangkan inovasi logistik hijau serta memperkukuh kerjasama penajaan dan pelaburan sektor pengangkutan mampan.

Datuk Hasbi menyeru semua pemain industri untuk menjadikan TXA 2025 sebagai pemangkin perubahan ke arah ekosistem logistik rendah karbon dan berdaya tahan.

SITI SALWA BINTI YUSOP