fb fb fb fb fb

Bot karam Langkawi : Laporan awal dibentang esok

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA

SEPANG, 13 November - Laporan awal berhubung tragedi bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia-Thailand akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, esok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, insiden itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan jenayah terancang, pemerdagangan manusia dan sebagainya.

"Itu satu tragedi yang saya perlu bentangkan esok kepada Jemaah Menteri. Saya diminta oleh Perdana Menteri untuk menyampaikannya kerana kes ini terlibat dengan jenayah terancang, pemerdagangan manusia dan sebagainya.

"Kita perlu meneliti semua kemungkinan memandangkan Langkawi merupakan destinasi pelancongan yang popular", katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dialog Khas PDRM IV 2025, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan syabas kepada kepada lebih 177 anggota keselamatan daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat).

Operasi Carilamat diteruskan hari ini melibatkan kawasan pencarian seluas 260.15 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada 12 sektor pencarian.

Terdahulu, Operasi Carilamat itu dijalankan susulan insiden satu daripada tiga bot yang didakwa membawa kira-kira 300 penumpang pendatang asing karam di Pulau Tarutao di kawasan perairan sebelum sempadan Malaysia-Thailand.

ROSLINA BINTI DIN