fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN: Malaysia dalam rangkaian strategik dunia- PM

Foto FB Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU, 24 Mei- Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 dan 27 Mei ini disasarkan menjadi platform meletakkan Malaysia dan negara-negara anggota dalam rangkaian strategik dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu merangkumi pengukuhan kerjasama ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, yang bakal terjalin dalam pertemuan terbabit. 

Beliau turut mengulangi komitmen negara terhadap kerjasama terbuka, antara pelbagai negara, termasuk kuasa besar ekonomi global. 

"ASEAN boleh dianggap sebagai rantau yang aman dan ekonominya segar, dan antara rantau yang paling pantas pertumbuhan ekonominya bersama GCC juga enam negara yang dianggap mempunyai kepantasan pertumbuhan ekonomi di antara yang tertinggi dan tercanggih di dunia.

"Gabungan ini, dan kejayaan dalam mesyuarat kita ini di mana kita melaksanakan program bersama, saya percaya akan meletakkan bukan sahaja Malaysia tetapi juga ASEAN di sisi dalam rangkaian yang hebat di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional KEADILAN 2024/2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor di sini

Sidang Kemuncak itu turut menjadi medan memperhalusi solusi bersama Amerika Syarikat, berhubung isu tarif dan ketidakseimbangan perdagangan global.

Perdana Menteri China, Li Qiang dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Mei ini.

Kehadiran beliau adalah atas jemputan rasmi Perdana Menteri.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM