JOHOR BAHRU, 24 Mei- Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar berazam untuk memberi fokus bagi merangka usaha ke arah memperkukuh parti bersama kepimpinan baharu.
Nurul Izzah yang ditemui media selepas diumumkan menang jawatan itu berkata beliau juga mahu melaksanakan reformasi dalaman selain bergerak menuju Pilihan Raya Umum akan datang.
Beliau juga akan berkongsi perancangan sebagai Timbalan Presiden selepas Kongres Nasional KEADILAN 2024/2025 berakhir.
“Saya mohon doa, saya dan suami akan berangkat ke Mekah menunaikan ibadah haji nanti,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menang jawatan Timbalan Presiden dengan menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi selepas memperoleh 9,803 undi.
Senarai pemenang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa selepas majlis perasmian kongres itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini malam tadi. - BERNAMA
BERITA BERKAITAN: