fb fb fb fb fb

Tabika Tunas Istimewa KEMAS mula operasi di Melaka

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man. Foto- RTM

LABUAN, 24 Mei – Tabika Tunas Istimewa, projek perintis bagi kanak-kanak berkeperluan khas dan autistik di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), akan mula dilaksanakan Julai ini di Melaka.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, tabika itu diwujudkan bagi menempatkan murid kelainan upaya termasuk kanak-kanak autistik.

Menurutnya, bermula tahun hadapan, sebuah Tabika Tunas Istimewa akan diwujudkan di setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan penubuhan satu tabika berkenaan di setiap daerah menjelang tahun 2027.

“Berdasarkan angka yang kami peroleh, jumlah kanak-kanak kelainan upaya di luar bandar semakin meningkat.

“Justeru, kita perlu menyediakan kelas khas bagi memastikan anak-anak ini tidak terlepas peluang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Santunan Desa KEMAS Wilayah Persekutuan di Kampung Patau-Patau Dua.

Program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat desa menerusi pelbagai aktiviti komuniti.

Dalam pada itu, KEMAS juga akan menganjurkan Program e-Sukan pada Jun ini.

Program berimpak tinggi itu menyasarkan penglibatan belia dan komuniti dalam bidang e-Sukan serta teknologi digital.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN