fb fb fb fb fb

PM Kanada tiba di Malaysia hadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Pesawat yang membawa Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dan isteri, Diana Fox Carney mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.45 malam / BERNAMA

SEPANG, 26 Oktober -Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, tiba di Malaysia lewat malam tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan yang akan bermula hari ini di Kuala Lumpur.

Pesawat khas membawa beliau dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.45 malam.

Ketibaan Carney disambut oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, serta menerima kawalan kehormat daripada 28 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama Carney ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac lalu.

Beliau diiringi isterinya, Diana Fox Carney, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Maninder Sidhu, serta beberapa pegawai kanan kerajaan Kanada.

Carney hadir ke sidang kemuncak sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN, atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Datuk Seri Anwar bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala.

Turut menjadi tumpuan, penerokaan peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan, ekonomi halal, tenaga, keselamatan siber dan ketersambungan rakyat antara kedua-dua negara.

Terdahulu, Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone, tiba di KLIA pada pukul 8.21 malam, diikuti Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, pada pukul 10.17 malam.

Turut tiba ialah Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva dan Naib Presiden Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik, Carlos Filipe Jaramillo, masing-masing pada 10.30 malam.

Ketibaan beberapa lagi pemimpin dijangka berterusan hingga awal pagi ini.

Antaranya, Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chính, bersama isterinya Lê Thị Bích Trân, serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, yang menaiki penerbangan sama dari Hanoi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN