Lebih ramai pemimpin dunia tiba di Malaysia hadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

KUALA LUMPUR, 26 Oktober -Lebih ramai pemimpin dunia dan serantau tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang akan bermula secara rasmi hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr akan menyaksikan penyerahan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina.
  • Marcos Jr. juga akan menyaksikan pemeteraian Deklarasi Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11.
  • Presiden Majlis Kesatuan Eropah Antonio Costa hadir sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN dalam lawatan sulungnya.
  • Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi hadir buat pertama kali sebagai perdana menteri wanita Jepun.
  • Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2024 mengangkat tema “Keterangkuman dan Kemampanan” bagi memperkukuh perpaduan rantau.

Pesawat yang membawa Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.55 petang Sabtu.

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Marcos Jr. dijadualkan menyaksikan penyerahan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, salah satu acara utama sidang kemuncak kali ini.

Selain, menyaksikan pemeteraian Deklarasi Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11.

Turut tiba petang semalam ialah Presiden Majlis Kesatuan Eropah, Antonio Costa, yang melakukan lawatan sulung ke Malaysia sejak dilantik ke jawatan itu.

Ketibaan beliau disambut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Costa akan menyertai sidang kemuncak sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN.

Terdahulu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, bersama isteri Dr Pich Chanmony, turut tiba di Kompleks Bunga Raya.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, turut tiba di Malaysia malam tadi.

Ini merupakan lawatan sulung Takaichi ke Malaysia selepas dipilih sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun pada 21 Oktober lalu.

Pesawat khas yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada pukul 7.29 malam, disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Takaichi kemudiannya memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sidang Kemuncak ASEAN kali ini menghimpunkan semua pemimpin negara anggota ASEAN dan rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2024 membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menumpukan kepada usaha memperkukuh perpaduan, kemakmuran dan daya tahan rantau ini.