fb fb fb fb fb

PULARA 2025 serlah jati diri bangsa, tarik lebih 20,000 pengunjung

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendeklamasikan puisi pada Majlis Perasmian Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa 2025 (PULARA 2025)

LUMUT, 26 Oktober -Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2025 berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran sejak Khamis lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, festival itu merupakan platform penting dalam membina jati diri bangsa melalui teras budaya.

“Seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, pembinaan jati diri bangsa Malaysia perlu berteraskan asas budayanya.

Oleh itu, PULARA menjadi permulaan untuk kita memperluas program di peringkat universiti awam agar masyarakat saling mengenali dan menghormati kepelbagaian budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan edisi ke-11 Festival PULARA 2025 yang dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.

Penganjuran tahun ini dilaksanakan dengan skala lebih besar merangkumi pelbagai aktiviti kesenian, seni halus serta persembahan budaya.

Antara pengisian menarik ialah program anak angkat Titian Budaya yang mengumpulkan 82 pelajar antarabangsa dari 19 negara, termasuk Jordan, Palestin, Korea, China dan Kanada.

Turut diadakan Persidangan Rumpun Melayu Sedunia (RUMIA), bengkel lagu rakyat, bengkel seni kraf, demonstrasi masakan tradisional, serta bengkel pemakaian busana tradisional.

Festival turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari bersama beberapa pemuisi terkenal tanah air.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN