BACHOK, 2 Januari - Penjelasan mengenai lafaz baiah dalam kalangan parti politik tertentu akan dirujuk kepada Jabatan Mufti untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, penjelasan yang akan dikemukakan kelak adalah berlandaskan sumber sahih serta pandangan pihak berautoriti bagi memastikan kefahaman tepat supaya dapat disampaikan kepada masyarakat.
"Insya-Allah, kita akan mengadakan pencerahan dan penjelasan daripada pihak berautoriti. Kita ingin memberikan pandangan yang terbaik berdasarkan sumber yang sahih dan boleh dipercayai," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Sesi Penyerahan Rumah Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Aman, Kandis di sini.
Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd. Syahir Che Sulaiman, menafikan dakwaan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, mengenai kewujudan lafaz baiah dan sumpah yang didakwa mengkehendaki pemimpin parti berkenaan menceraikan isteri sekiranya melanggar perjanjian.
