KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini disifatkan sebagai pemangkin kepada hubungan lebih kukuh antara ASEAN dengan Amerika Syarikat.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, lawatan rasmi pertama Trump ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Amerika pada Januari lalu memberi ruang penting kepada ASEAN menyuarakan pendirian bersama terhadap isu-isu serantau dan global.
“Kehadiran Trump menawarkan peluang penting untuk ASEAN menyampaikan pendirian bersama mengenai isu seperti keamanan, perdagangan, tenaga, serta situasi di rantau Asia-Pasifik dan Gaza,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Antara acara utama hari ini ialah majlis menandatangani Perjanjian Damai Thailand–Kemboja yang akan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Trump.
Tunku Nashrul berkata kejayaan rundingan itu mencerminkan keberkesanan diplomasi damai ASEAN serta memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemudah cara keamanan di rantau ini.
Trump dan Anwar turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dan menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian serta menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan jamuan rasmi bersama dengan pemimpin ASEAN.
Sementara itu, deklarasi Penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 antara pencapaian signifikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia memimpin rantau ini dengan menjadi pemacu perpaduan dan kemajuan Asia Tenggara di pentas global.
Tunku Nashrul berkata, pencapaian itu juga melengkapkan blok ASEAN sebagai sebuah rantau yang bersatu.
"Penyertaan Timor-Leste bakal membawa dinamik baharu kepada tiga tonggak Komuniti ASEAN iaitu keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, serta menyumbang kepada citra jangka panjang, mewujudkan Asia Tenggara yang benar-benar inklusif dan baik," jelasnya.
Kuala Lumpur hari ini menjadi tumpuan diplomasi dunia apabila Malaysia secara rasmi membuka tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan, menandakan kemuncak kepada Kepengerusian Malaysia sepanjang tahun ini dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'.
Sidang kemuncak yang berlangsung bermula hari ini hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) juga menyaksikan kehadiran lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk pemimpin ASEAN dan rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada.
