fb fb fb fb fb

6 rumah rosak akibat angin kencang dan hujan lebat di Perlis

Foto APM Perlis

KANGAR, 24 Mei - Enam buah rumah rosak di Perlis dalam kejadian angin kencang dan hujan lebat kira-kira pukul 3.00 petang semalam.

Kawasan terlibat ialah Kg Wang Ulu, Kg Guring, Kg Oran, Kg Kota Kayang dan Kg Sempering, di sini dan Arau.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataan berkata, pihaknya telah ke lokasi sebaik kejadian berlaku menerusi maklumat diperolehi daripada Pengurusan Masjid di setiap kawasan terjejas.

"MAIPs dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menyelaras serta mengemaskini anggaran sebenar kerosakan setiap rumah terlibat berdasarkan laporan dan tinjauan ke setiap rumah terjejas.

"Mereka yang terjejas diminta segera membuat laporan polis dan mengemukakan laporan berkenaan beserta gambar kejadian kepada JKM," katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis menerima enam panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di seluruh Perlis akibat angin kencang serta hujan lebat berkenaan.

Kejadian pokok tumbang berkenaan melibatkan beberapa jalan utama di Perlis yang menghalang lalu lintas serta melibatkan kediaman dan kenderaan.

Pengarah APM Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud memaklumkan antara lokasi berlakunya kejadian pokok tumbang ialah Pesiaran Pantai Kuala Perlis, Jalan Penjara, Jalan Kampung Wai, Felcra Lubuk Sireh, Taman Haji Ali dan Kampung Behor Gandil.

Seramai 63 pegawai dan anggota APM negeri diatur gerak bagi kerja-kerja pemotongan serta pembersihan pokok tumbang sepanjang laluan yang dilaporkan serta kediaman penduduk.

TETITIA YUSOFF