KUALA LUMPUR, 25 Oktober -Malaysia dan Timor-Leste terus diperkukuh dengan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang telekomunikasi dan media.
Kerjasama antara Malaysia-Timor-Leste itu menyokong visi serantau untuk mewujudkan Asia Tenggara yang lebih terhubung, bersatu dan progresif.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, menerusi kerjasama itu kedua-dua negara akan berkongsi pengetahuan, bertukar-tukar kepakaran dan meneroka peluang untuk mempertingkat sektor telekomunikasi masing-masing demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu disempurnakan oleh Datuk Fahmi Fadzil bersama Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste, Miguel Marques Gonçalves Manetelu serta Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste, Expedito Loro Dias Ximenes.
"Sistem komunikasi yang boleh dipercayai merupakan tunjang kehidupan moden, menghubungkan komuniti, menyokong pendidikan, membuka peluang ekonomi dan mendekatkan masyarakat antara satu sama lain," katanya dalam ucapan pada majlis menandatangani MoU berkenaan, di sini.
MoU pertama ditandatangani antara Datuk Fahmi dan Miguel Marques Gonçalves Manetelu bagi kerjasama dalam bidang telekomunikasi diikuti MoU kedua mengenai pembangunan maklumat dan media antara Datuk Fahmi dan Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes.
Melalui MoU itu, kedua-dua negara bersetuju memperkukuh infrastruktur telekomunikasi, meningkatkan kesalinghubungan digital, selain memperluas kerjasama dalam pertukaran maklumat, latihan profesional dan pembangunan kapasiti pengamal media.
Kerjasama ini sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bertemakan ‘Shaping a Shared Digital Future’, yang menekankan keperluan memperkukuh ekosistem digital serantau bagi manfaat bersama.
“Kedua-dua memorandum persefahaman (MoU) itu mencerminkan visi bersama untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang komunikasi, media dan kesalinghubungan yang menjadi elemen penting dalam memperkukuh masyarakat serta mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan Timor-Leste,” Jelasnya.
Kedua-dua negara turut menegaskan komitmen memperdalamkan hubungan dua hala serta memperkukuh jalinan rakyat dengan rakyat ke arah membina rantau Asia Tenggara yang lebih bersatu, berdaya saing dan berpandangan jauh.