fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh warisan budaya serantau melalui BoAPA 2025

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menegaskan komitmen memperkukuh hubungan rakyat serantau di bawah tonggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) yang diterajui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, melalui pelbagai inisiatif seperti penganjuran 'Best of ASEAN Performing Arts' (BoAPA) 2025, Malaysia bukan sahaja berusaha memelihara warisan budaya serantau, malah memastikan ia terus berkembang dan diwarisi khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Ia lebih daripada sekadar projek kebudayaan tahunan yang dianjurkan Pengerusi ASEAN, inisiatif ini sebenarnya merupakan sebuah konsert yang mana satu platform mempunyai potensi besar dalam memperkasa pelancongan budaya, atau lebih tepat lagi dikenali sebagai pelancongan konsert atau muzik.

“Pelancongan konsert merupakan salah satu segmen pelancongan utama di Malaysia yang menarik pengunjung dari seluruh rantau untuk menikmati persembahan bertaraf dunia oleh artis antarabangsa dan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan BoAPA 2025 bertemakan ‘ASEAN Cultural Seed: Nurturing Cultural Leaders’ di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri di sini hari ini.

Menurut Datuk Mohd Yusri, menerusi kemudahan moden seperti Axiata Arena, Stadium Nasional Bukit Jalil dan Zepp Kuala Lumpur, Malaysia menawarkan pelbagai lokasi bertaraf antarabangsa bagi penganjuran jelajah konsert berskala besar dan acara hiburan langsung.

“Selain mempromosikan Malaysia sebagai destinasi dinamik dan penuh kehidupan, pelancongan konsert turut memberi impak ekonomi yang ketara melalui peningkatan kadar penginapan hotel, perbelanjaan tempatan, serta peluang pekerjaan dalam sektor kreatif,” katanya.

Terdahulu, BoAPA 2025 anjuran MOTAC dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Anak Seni Malaysia (PASM) menampilkan 22 artis muda berbakat berusia antara tujuh hingga 13 tahun dari Asia Tenggara dalam satu program imersif bagi meraikan warisan budaya serantau.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM