fb fb fb fb fb

Rundingan FTA ASEAN-EU dimuktamad dalam masa terdekat

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) kini berada di fasa akhir dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rundingan tersebut mencerminkan perkembangan yang memberangsangkan dan berpotensi memperkukuh serta memperluas peluang perdagangan dua hala antara rantau Asia Tenggara dan Eropah.

"Untuk makluman, ASEAN kini berada di peringkat akhir rundingan FTA antara ASEAN dan EU, dan saya percaya kita sedang mencatat kemajuan yang sangat baik. Semoga kita dapat menyelesaikan FTA ASEAN-EU ini dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas hari ketiga Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini.

Tambahnya, ASEAN mesti terus berpegang kepada prinsip berkecuali dalam menghadapi tekanan geopolitik global yang semakin mencabar.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa FTA itu akan membawa manfaat ekonomi yang mampan serta memperkukuh kerjasama strategik antara ASEAN dan EU.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM