fb fb fb fb fb

Lokasi LIMA diperluas, sokong pertumbuhan industri pertahanan

Foto- Facebook Adly Zahari

LANGKAWI, 24 MeiPameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang mula dianjurkan sejak 1991 kini menjadi antara agenda strategik paling penting di rantau ini.

Jumlah penyertaan yang meningkat saban tahun membuktikan jenama LIMA terus kukuh dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sehubungan itu, langkah kerajaan meneliti keperluan untuk memperluas lokasi penganjuran LIMA disambut baik memandangkan pelbagai manfaat yang bakal diperoleh.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata LIMA merupakan peluang penting untuk membawa masuk teknologi terkini dalam industri pertahanan dan komersial.

Katanya, pameran itu turut memberi pendedahan dan mendorong perkembangan teknologi dalam negara.

“Ini sebenarnya cukup merangsang kita kerana cabaran masa hadapan adalah kemampuan kita dalam bidang sains dan teknologi.

“Kita tahu industri pertahanan mempunyai tahap keupayaan tertinggi dalam bidang tersebut.

“Kalau kita mampu kuasai industri pertahanan, ini bermakna kita akan kuasai juga sains dan teknologi, dan negara akan dibawa ke hadapan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama RTM ketika melawat pusat media LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).

Menurutnya lagi, penganjuran LIMA turut merangsang sektor pelancongan tempatan apabila berjaya menarik kehadiran pelawat dalam dan luar negara untuk terus berkunjung ke Malaysia.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN