KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Malaysia dan New Zealand berhasrat memuktamadkan semakan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–New Zealand (MNZFTA) menjelang akhir tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui bersama rakan sejawatan dari New Zealand, Christopher Luxon, dalam pertemuan dua hala sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan, di sini, hari ini.
"Kedua-dua negara menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor halal serta memperluas hubungan dua hala dalam bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pertanian, perikanan, pembangunan industri halal, pendidikan serta tenaga boleh baharu," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kedua-dua pihak juga meneliti kemajuan beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian merangkumi bidang belia dan sukan, pendidikan, keadilan jenayah, jenayah rentas sempadan, pengurusan bencana dan kastam.
Dalam pertemuan itu, Malaysia dan New Zealand turut membincangkan isu serantau dan antarabangsa, termasuk perkembangan di Myanmar dan Palestin, selain menegaskan pendirian bersama dalam mempertahankan keamanan, keadilan dan pembangunan inklusif.