KUALA LUMPUR, 28 Oktober - New Zealand menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh hubungan dengan ASEAN bersempena ulang tahun ke-50 perkongsian strategik kedua-dua pihak.
Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon berkata Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN New Zealand hari ini menjadi simbol hubungan erat yang dibina atas asas keamanan, hormat dan kerjasama bersama.
Hubungan selama lima dekad antara New Zealand dengan ASEAN bukan sekadar sejarah, tetapi menjadi asas penting dalam membentuk masa depan rantau Indo-Pasifik yang stabil dan makmur.
"Selama lebih 50 tahun kita telah membina satu kisah bersama tentang pertumbuhan dan pembangunan. Kini kita mempunyai dua perjanjian perdagangan bebas iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Australia–New Zealand (AANZFTA), masing-masing bernilai sekitar 30 juta dolar setiap tahun.
"Kita turut menandatangani perjanjian baharu perkhidmatan udara serantau. Dengan kata lain, sejak 1975 hubungan perdagangan dengan negara-negara ASEAN terus berkembang pesat," kata beliau pada persidangan tersebut di sini.
Tambah beliau, tahun 2025 menjadi detik penting apabila tahun ini juga negaranya meraikan ulang tahun ke-20 penyertaan dalam Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (TAC).
Beliau turut mengalu-alukan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dan menyifatkan ia sebagai langkah memperkukuh kesepaduan rantau.
Perkongsian ASEAN–New Zealand kini meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan, ekonomi digital, tenaga lestari dan pembangunan mampan.
Sidang kemuncak kali ini bukan sekadar memperingati lima dekad hubungan, tetapi juga menandakan permulaan hala tuju baharu ke arah rantau yang lebih makmur, selamat dan berdaya tahan.