KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkaitan insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain yang berterusan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan berkata, Kementerian pada peringkat awal operasi Aerotrain telah mengambil maklum bahawa MAHB memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan perkhidmatan tersebut berada dalam fasa penyesuaian awal.
"Memandangkan perkhidmatan Aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan, Kementerian melalui APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap insiden gangguan perkhidmatan yang berlaku", tegasnya.
Tambah beliau, lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan bahawa syarikat tersebut wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.
Bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan.
Terdahulu, perkhidmatan Aerotrain di KLIA dilaporkan sekali lagi mengalami kerosakan awal pagi tadi, memaksa penumpang membawa sendiri bagasi dan berjalan dalam gelap di atas platform.
Sejak kembali beroperasi pada Julai 2025, perkhidmatan tersebut telah mengalami beberapa gangguan, termasuk kejadian melibatkan gangguan kuasa pada 15 Oktober lepas.