KUALA LUMPUR, 24 Mei - Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN (SOM) bermula secara rasmi hari ini, fasa penting menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 27 Mei ini.
Sesi yang bermula pada 8.30 pagi itu menghimpunkan pegawai-pegawai kanan ASEAN, wakil SOM Timor-Leste, dan pegawai dari Sekretariat ASEAN, bagi tujuan menyelaraskan kedudukan dalam isu-isu serantau utama menjelang sesi rundingan pemimpin negara-negara ASEAN.
Selepas makan tengah hari, mesyuarat SOM bersambung pada sebelah petang, diikuti dengan beberapa siri rundingan tidak rasmi mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, hala tuju kolektif ASEAN bagi menangani situasi di Myanmar.
Sesi rundingan akan bermula pada 4 petang dengan perbincangan yang telah disasarkan dalam kalangan Menteri Luar ASEAN terpilih dan perwakilan kanan dari Malaysia, Laos, dan Filipina, sebelum diperkembang selanjutnya bagi merangkumi perwakilan ASEAN yang lebih luas pada sesi kemudian nanti.
Hasil perbincangan itu dijangka membentuk respons kolektif blok tersebut terhadap situasi semasa.
Semasa diplomasi beralih daripada dewan persidangan kepada persekitaran yang lebih tidak formal, persidangan hari ini akan diakhiri dengan Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Majlis makan malam di Kelab Petronas itu akan mengalu-alukan kehadiran Menteri-menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China, menjadi perhimpunan peringkat tinggi secara rasmi yang pertama minggu ini.
Pada masa yang sama landasan ekonomi akan terus mendapat momentum dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Ekonomi Kanan Persediaan (Prep-SEOM), yang akan meletakkan asas bagi Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-25.
Prep-SEOM biasanya berfungsi untuk memperhalusi keutamaan ekonomi utama seperti perdagangan, pelaburan dan kemampanan.
Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan" dijangka menjadi peristiwa penting kerana ia turut melibatkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan buat julung kalinya Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang mencerminkan peningkatan penglibatan ASEAN dengan rakan kongsi antarabangsa penting.
- BERNAMA