fb fb fb fb fb

Fahami konsep wasatiyyah dalam politik

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan / Foto BERNAMA

BANGI, 29 Oktober - Generasi muda perlu diberi kefahaman tentang konsep 'wasatiyyah' agar tidak terpengaruh dengan agenda politik ekstrem yang berunsur hasutan dan kebencian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, konsep 'wasatiyyah' menekankan pendekataan kesederhanaan, keseimbangan, dan keadilan dalam setiap tindakan, sekaligus menjadi asas keharmonian pelbagai kaum.

"Satu perbincangan politik Islam yang bersesuaian dengan konteks dan realiti demokrasi dan politik negara kita yang berasaskan kepada perlembagaan dan juga kebebasan yang kita ada. Jadi, politik yang ekstrem, politik yang melampaui batas, politik yang menanamkan bibit-bibit kebencian hasutan perlu kita jauhi. Dan, politik Islam tujuannya adalah untuk mewujudkan keharmonian dalam berwarganegara seiring dgn konteks MADANI Itu sendiri," tegas beliau.

Dr Zulkifli berkata demikian selepas merasmikan Sesi Wacana Buku: Dialog Politik Islam hasil karya Marwan Bukhari A. Hamid di Bangi, Selangor. 

Ahli panel yang terlibat ialah tokoh ilmuwan terkemuka, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Dr Sharifah Hayati Syed Ismail dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. 

Hampir 200 peserta terdiri daripada para mahasiswa dan agensi yang berkaitan turut hadir pada sesi berkenaan.

EMMI NORALIZA ADNAN